mutakhir

'Kakak, mana kau? Kami rindu'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

KELUARGA seorang penuntut bimbang keselamatannya susulan hampir sebulan menghilangkan diri.

Siti Nor Fatihah Hussin, 19, dilaporkan hilang pada 5 Oktober lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Terap, Kulim, Kedah.

Bapanya, Hussin Kamaruddin, 46, yang ditemui di kampungnya di Tanah Kebun, Parit Buntar hari ini berkata, anak sulung daripada lima beradik itu masih belajar di Kolej Komuniti Kulim dan keluar rumah pada hari berkenaan untuk latihan praktikal di restoran di Kulim Hi-Tech.

"Pada malam 5 Oktober lalu, dia ada menghantar pesanan ringkas memberitahu akan pulang dalam masa terdekat, namun dua hari kemudian dia masih tidak pulang ke rumah, justeru kami membuat laporan polis mengenai kehilangannya.

"Lebih membimbangkan kami apabila telefon bimbit dan akaun Facebook miliknya juga tidak lagi aktif membuatkan kami bimbang keselamatannya," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, anaknya itu keluar rumah dengan menaiki motosikal jenis SYM Bonus berwarna biru bernombor pendaftaran PMN 3789 dan keluarga sudah puas mencarinya di merata tempat termasuk kolej serta tempat latihan praktikalnya namun hampa.

Hussin merayu kepada orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat berkenaan anaknya agar melaporkan terus kepada mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubunginya di talian 013-4764846.

"Kakak, mana kau nak (anak) pulanglah, kami rindu dan sayang kamu," rayunya.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 9:42pm
d