mutakhir

Teramai

Oleh Mohd Wahyuddin Jamil Khair

Kuala Lumpur: Hampir 500 graduan antarabangsa dari 30 negara berbeza bakal menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bakal berlangsung di Dewan Muaddzam Shah, UUM Sintok, Kedah, pada 18 hingga 22 November ini.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, hal itu adalah satu pengiktirafan kepada UUM dan juga pendidikan negara.

“UUM salah satu universiti yang memiliki pelajar antarabangsa yang ramai, walaupun tidak berada di ibu kota, perkara ini jelas menunjukkan universiti di negara kita setaraf peringkat antarabangsa.

“Perkara ini secara tidak langsung membuktikan keyakinan masyarakat negara luar terhadap pendidikan tinggi negara ini,” katanya pada sidang media sempena majlis konvokesyen itu di Hotel Seri Pacific, di sini, semalam.

Beliau berkata, konvokesyen pada kali ini akan dimulakan dengan pemasyhuran Sultan Kedah iaitu Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebagai Canselor UUM yang baru menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat pada September lalu.

“Ini kali kedua UUM menerima Canselor dalam kalangan Sultan,” katanya.

Konvokesyen pada kali ini juga menyaksikan dua tokoh bakal menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah iaitu Pengarah Urusan Epic Valley Holding Sdn Bhd, Tan Sri Dr Fng Ah Seng (Tanggungjawab Sosial Korporat) dan Chef Terkemuka, Datuk Redzuawan Ismail (Seni Kulinari).

Terdapat lapan sesi pada majlis itu membabitkan seramai 5,935 graduan iaitu 4,439 graduan Sarjana Muda dan 1,496 pascasiswazah.

Daripada kelompok pasca siswazah, seramai 301 membabitkan doktor falsafah (301), doktor pengurusan (empat), doktor pentadbiran perniagaan (29), sarjana (1,107) dan diploma siswazah Dalam Pendidikan (55).

Bagi memeriahkan lagi majlis bertema ‘Mahasiswa Tonggak Transformasi Nasional’ itu, pelbagai aktiviti berbentuk akademik, keusahawanan, kebudayaan dan kesenian, sukan dan rekreasi, kerohanian serta pameran dan juga gerai jualan turut diadakan.

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 8:23am
d