mutakhir

Diskaun api

Oleh Siraj Mohd Zaini

Klang: Ahli perniagaan dikenali sebagai Datuk Kabi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang di sini, semalam atas 27 pertuduhan menipu berkaitan diskaun pembayaran tunggakan bil elektrik.

Nilai kerugian hampir RM2 juta dan ia berlaku antara September hingga November tahun lalu.

Tertuduh, C Kamaleshwaran, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Turut didakwa isteri tertuduh, N Bavani, 31, dengan 23 pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Kamaleshwaran didakwa menipu beberapa individu termasuk pemilik syarikat dalam urusan pemberian diskaun pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak 20 peratus sehingga mendorong mereka menyerahkan wang berkenaan kepadanya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar bandar Klang antara September hingga November 2016 dan dia didakwa mengikut

Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta sebatan.

Bavani didakwa bersubahat dengan suaminya dan dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM25,000 bagi setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh.

Peguam P Visnuvarman yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan berikutan ahli keluarga tertuduh tidak berkemampuan membayar jaminan tinggi.

Emilia Kaswati menetapkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM270,000 dan RM115,000.

Kes disebut semula 14 Disember ini.

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 9:42am
d