mutakhir

Mayat nelayan ditemui

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

 

mriduwan@hmetro.com.my

 

NELAYAN, Mohamad Aznan Abd Rashid, 40, yang hilang di laut ketika menarik pukat di Barat Daya Pulau Rebak Besar, Langkawi kelmarin ditemui lemas hari ini.

Mayatnya ditemui tersangkut di pukat oleh nelayan tempatan kira-kira 7 batu nautika barat daya dari Pulau beras Basah, Pulau Langkawi.

Timbalan Pengarah Operasi DM 1 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Langkawi, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada nelayan, Dilip Usman, 54, pada jam 8.15 pagi melaporkan terdapat mayat di dalam pukat ketika mereka sedang menggulung naik pukat.

Menurutnya, bertindak atas laporan Bot Peronda Kilat 6 terus diaturgerak untuk membuat pemeriksaan di lokasi mayat dijumpai.

"Ketika di lokasi, mayat ditemui terperangkap di dalam pukat dalam keadaan masih berpakaian lengkap berbaju oren.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, APMM melaporkan seorang nelayan warga tempatan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika sedang menarik naik pukat di kawasan perairan Langkawi, di sini.

Dalam kejadian jam 8.05 pagi itu, Mohd Aznan dikatakan terjatuh ke dalam laut ketika sedang menarik pukat dan hilang.

Nuralazme berkata, selain Maritim Malaysia, operasi mencari dan menyelamat ini juga dibantu Tentera Laut, Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan komuniti nelayan.

 

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 2:34pm
d