mutakhir

KADA agih bantuan RM207,850

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

LEMBAGA Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengagihkan pelbagai bantuan dan peralatan bernilai RM207,850 dalam usaha meningkatkan pendapatan petani berskala kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadok, hari ini.

Pengurus Besar KADA Mohd Ridzuan Ismail berkata, bantuan itu diagihkan kepada 202 penerima di kawasan terbabit.

Katanya, pengagihan itu dilaksanakanm untuk meningkatkan pendapatan penduduk setempat menerusi Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil.

“€œAntara bantuan yang diberikan termasuklah ternakan unggas seperti ayam dan itik, ternakan ikan serta biri-biri selain bantuan peralatan pertanian termasuk mesin memotong rumput serta pam racun rumput.

"Sebelum ini, KADA sudah mengagihkan bantuan yang sama di Kok Lanas dan Melor, manakala Kadok adalah lokasi yang terakhir bagi pengagihan berkenaan.

“€œBagi memastikan petani dan penternak ini dapat meningkatkan hasil pertanian atau penternakan, kami akan melakukan pemantauan secara berkala di kawasan mereka,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil 2017 di Pejabat Gerakan Dewan Undangan Negeri(DUN) Kadok, hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam majlis yang sama juga, KADA turut mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Ternakan Biri-biri Melalui Sistem Pawah Tahun 2017 bersama penternak.

Sementara itu, salah seorang penerima, Mohamad Ismail, 58, berkata, bantuan yang diperoleh dari KADA amat membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

“€œSaya bersyukur kerana terpilih untuk mendapat bantuan 100 anak ayam kampung yang sekali gus dapat membantu saya memulakan kembali penternakan ayam yang pernah diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Ia adalah satu permulaan untuk saya dan berharap segala yang diusahakan akan berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 4:29pm
d