mutakhir

Jom buka akaun SSPN-i

Oleh Syazwan Msar

HANYA 40,000 akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dibuka dalam tempoh sembilan bulan bermula Januari lalu dengan peruntukan keseluruhan RM2.02 juta.

Jumlah berkenaan hanyalah kira-kira 10 peratus daripada sasaran yang ditetapkan iaitu 500,000 akaun sekali gus menunjukkan kesedaran umum untuk melakukan tabungan pendidikan masih rendah.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN Mastura Mohd Khalid berkata, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menyediakan dana tambahan kepada pendeposit supaya menarik lebih ramai ibu bapa membuka akaun SSPN.

Beliau berkata, individu yang membuka akaun dengan kadar RM50 pada tahun ini akan menerima sumbangan percuma RM50 lagi menerusi pemberian khas geran sepadan yang akan berakhir dalam tempoh dua bulan lagi.

"Ibu bapa yang mempunyai anak berusia tujuh tahun seharusnya merebut peluang ini dengan membuka akaun SSPN-i menerusi simpanan terkumpul RM50 sekali gus berhak menerima RM50 lagi secara percuma.

"Peruntukan yang disediakan kerajaan adalah sebanyak RM25 juta namun amat mendukacitakan apabila orang ramai masih lagi kurang kesedaran dalam membuat tabungan menerusi simpanan SSPN-i,” katanya ketika ditemui pada majlis 'Jom Simpan Bersama PTPTN', di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, menerusi peruntukan Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, setiap ibu bapa yang membuka akaun untuk anak masing-masing berusia antara tujuh hingga 12 tahun akan menerima simpanan tambahan RM500.

"Setiap pemilik akaun SSPN-i perlu mendepositkan sekurang-kurangnya RM500 pada tahun hadapan untuk melayakkan mereka menerima inisiatif berkenaan dengan peruntukan keseluruhan RM250 juta.

"Simpanan hanya boleh dikeluarkan pada usia 18 tahun dengan pendeposit sekurang-kurangnya memperoleh RM1,000 nanti," katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 5:11pm
d