mutakhir

Ibu bapa direman seminggu

Oleh Amrullah Abdul Karim

IBU bapa bayi perempuan berusia setahun yang dipercayai didera sehingga meninggal dunia direman tujuh hari mulai semalam sehingga 16 November ini bagi membantu siasatan berhubung kematian anak mereka.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai berkata, perintah reman dipohon bagi membantu polis melakukan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

"Kedua-duanya yang berusia 21 dan 29 tahun sudah direman mulai semalam dan setakat ini tiada sebarang perkembangan dalam kes itu," katanya hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah malam Rabu lalu di Pangsapuri Widuri, Bukit Beruntung, mangsa dibawa ibu bapanya ke klinik swasta kerana tidak sedarkan diri namun pemeriksaan di klinik itu mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala.

Bayi itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh sebelum disahkan meninggal dunia.

Ibu bapa mangsa mendakwa anak mereka ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah mereka dan ditutupi dengan selimut selepas pulang dari kerja.

Bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan luka, lebam serta ada koyakan di kepala.

Kesan lebam dipercayai hentakan pada kepala dan tidak konsisten dengan kecederaan jatuh buaian.

Bayi itu adalah anak kedua daripada dua beradik dengan abang sulungnya berusia dua tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Ya Allah... Baru setahun dah didera

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 5:26pm
d