mutakhir

Mujur berhentikan van

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

TINDAKAN pantas seorang lelaki yang memberhentikan van di tepi jalan berjaya menyelamatkan dia dan keluarganya daripada rentung selepas kenderaan itu terbakar di Kampung Padang Bongor, Binjai, Kota Bharu petang tadi.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Alias Teh, 45, bersama isteri dan empat anaknya sempat menyelamatkan diri selepas melihat asap keluar daripada papan pemuka van terbabit.

Alias berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari rumah mentuanya ke sebuah sekolah pondok di Dewan Beta.

Katanya, tidak sampai satu kilometer perjalanan, dia terhidu bau asap sebelum melihat asap keluar menerusi papan pemuka.

"Saya kemudian memberhentikan van di tepi jalan dan menyuruh isteri bersama empat anak yang berusia 11 hingga tujuh tahun keluar dan menjauhi kenderaan berkenaan sementara saya mendapatkan mekanik di bengkel berhampiran.

"Ketika saya dan mekanik sedang menuju ke arah ke van itu,api secara tiba-tiba marak dan terus memusnahkan van dalam tempoh 15 minit.

"Kejadian berlaku cukup pantas dan saya tidak sempat menyelamatkan beg pakaian dan beras yang berada dalam kenderaan.

"Mujurlah ketika kejadian semua ahli keluarga sudah berada di luar dan api dapat dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba," katanya ketika dihubungi Harian Metro tadi.

Menurutnya, van terbabit digunakan sebagai pengangkutan utama keluarganya sejak enam tahun lalu.

"Saya mempunyai lapan anak berusia 17 hingga tujuh tahun, jadi van itulah pengangkutan untuk menghantar mereka ke sekolah

"Saya terima ketentuan ini dengan hati terbuka, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian dan saya bersyukur ahli keluarga terselamat," katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 7:14pm
d