mutakhir

Orang Penang mintak jaga-jaga

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

MALAYSIA Airport Berhad (MAB) melaporkan terdapat tiga penerbangan yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat hujan lebat di Pulau Pinang sejak 2 petang hingga 8 malam tadi.

Hujan lebat lebih lima jam itu juga menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air.

Beberapa sungai utama seperti Sungai Pinang mencatatkan kenaikan namun masih belum mencecah paras bahaya.

Tinjauan Harian Metro mendapati beberapa kawasan di Georgetown dinaiki air seperti di Jalan P Ramlee, Sungai Pinang, Jelutong, Paya Terubong, Air Itam dan Relau.

Lebih 20 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Timur Laut melakukan pemantauan, memeriksa keadaan paras air termasuk mengawal lalu lintas.

Turut dilaporkan terdapat bongkah batu runtuh di kawasan Jalan Paya Terubong namun tiada jalan ditutup atau kecederaan dilaporkan.

Setakat ini tiada pusat pemindahan banjir dibuka dan keadaan masih terkawal.

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 7:57pm
d