mutakhir

Johor cuti

Oleh Ibrahim Isa

KERAJAAN Negeri Johor mengisytiharkan cuti khas peristiwa hari ini susulan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam, Selangor, malam tadi.

Ia adalah kejayaan ditunggu-tunggu untuk menjulang piala berprestij itu selepas kali terakhir berbuat demikian pada 1991.

Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dalam satu kenyataan berkata, ia satu kejayaan bersejarah selepas 25 tahun Johor tidak memenangi Piala Malaysia dan pengumuman cuti khas peristiwa ini adalah penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat Johor.

Menurutnya, pengumuman cuti itu adalah sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang terdahulu memperkenankan cuti peristiwa sekiranya JDT muncul juara.

Katanya, ia juga selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369).

"Tahniah kepada pasukan JDT di atas kemenangan itu dan berharap ia menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan JDT merangkul Piala Malaysia 2017, buat pertama kalinya sejak 25 tahun.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada penyokong yang sentiasa berdiri bersama-sama pasukan JDT.

"Saya juga menjunjung kasih di atas sokongan tidak berbelah bahagi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada pasukan itu selama ini.

"Tidak dinafikan juga, peranan besar yang turut dimainkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke atas pasukan JDT sehingga ia berjaya muncul sebagai salah satu pasukan bola sepak yang disegani di rantau Asia," katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Kedah kerana memberikan permainan yang baik.

"Permainan bertenaga yang ditonjolkan kedua-dua pasukan berjaya menunjukkan mutu bola sepak bertaraf final sebenar kepada semua penonton," katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 12:41am
d