mutakhir

Hentikan van lepas lihat asap

Kota Bharu: Tindakan pantas lelaki memberhentikan van di tepi jalan menyelamatkan dia dan keluarganya daripada rentung selepas kenderaan itu terbakar di Kampung Padang Bongor, Binjai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang, Alias Teh, 45, bersama isteri dan empat anaknya sempat menyelamatkan diri selepas melihat asap keluar dari papan pemuka van terbabit.

Alias berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari rumah mentuanya untuk menghantar anaknya ke sekolah pondok di Dewan Beta.

Tidak sampai satu kilometer perjalanan, dia terhidu bau asap sebelum melihat asap keluar menerusi papan pemuka.

“Sebaik melihat asap, saya memberhentikan van dan menyuruh isteri bersama empat anak yang berusia tujuh hingga 11 tahun keluar dan menjauhi kenderaan berkenaan sementara saya mendapatkan mekanik di bengkel berhampiran.

“Ketika saya dan mekanik menuju ke arah ke van itu, api tiba-tiba marak dan memusnahkan van dalam tempoh 15 minit,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 7:08am
d