mutakhir

Terbabas sendiri

Oleh Amrullah Abd Karim

EMPAT penumpang bas ekspres parah, manakala lebih 20 lagi cedera apabila bas yang membawa 26 penumpang dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur terbabit kemalangan di Kilometer 434.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Sungai Buaya pagi tadi.

Bas ekspres terbabit dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar besi penghadang jalan, lalu memasuki laluan bertentangan dan terbalik di dalam longkang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, kejadian berlaku kira-kira 5 pagi tadi dan bas terbabit menuju ke Kuala Lumpur sebelum ke Pahang.

Beliau berkata, penumpang yang parah dan cedera itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, pemandu bas cedera pada muka manakala pemandu kedua cedera ringan.

"Penumpang yang parah dengan kecederaan di kepala ditempatkan di zon merah Hospital Sungai Buloh.

"Kita masih menyiasat punca kejadian dan polis akan melakukan ujian saringan air kencing serta ujian darah ke atas kedua-dua pemandu," katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, bomba menerima panggilan pada 4.52 pagi dan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu serta Rawang bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, tiada mangsa tersepit dan ketika pasukan bomba tiba sebahagian daripada penumpang yang cedera sudah dibawa ke hospital dengan ambulans.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 12:33pm
d