mutakhir

Mujur belum diduduki

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

ENAM unit banglo tiga tingkat bernilai jutaan ringgit rosak teruk apabila jalan di situ runtuh akibat hujan lebat di Persiaran Tanjung Bungah 3, Tanjung Bungah, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, tiga unit banglo terutama kawasan letak kereta hadapan rumah runtuh termasuk rekahan teruk pada jalan dan kawasan kediaman.

Pengerusi Kondominium Surin, Jesmond Ng berkata, dia terdengar satu dentuman kuat sebelum terkejut melihat rekahan jalan serta runtuhan yang teruk.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati laluan jalan ke banglo berkenaan rosak teruk manakala kawasan bumbung parkir kereta di tiga rumah di situ runtuh.

"Semua penduduk di sini melahirkan rasa risau dan bimbang sekiranya berlaku rekahan dan runtuhan yang lebih teruk.

"Kawasan lereng bukit berhampiran laluan masuk ke Kondominium Surin juga begitu hampir dengan kawasan runtuhan," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati tembok batu yang berada di lereng bukit berhampiran banglo berkenaan runtuh.

Terdapat satu rekahan yang dalam selain laluan masuk jalan turut runtuh dan terdapat limpahan air di bawah jalan berkenaan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana banglo berkenaan masih lagi kosong dan belum diduduki.

Seluruh kawasan berkenaan terpaksa ditutup dengan kain kanvas untuk menghalang orang ramai masuk bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 1:07pm
d