mutakhir

Pekerja Nepal tarik balik laporan polis

Oleh Hadzlihady Hassan

PEKERJA kilang warga Nepal yang dipukul pemandu bas kilang di Air Itam, Georgetown, Jumaat lalu, menarik balik laporan polis yang dibuatnya kerana mahu menyelesaikan kes secara baik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Samah berkata, lelaki Nepal berusia 27 tahun itu membuat laporan pada 8.30 pagi, selepas dipukul pemandu terbabit.

Menurutnya, ketika kejadian pekerja kilang terbabit yang duduk di tempat duduk belakang bas memarahi pemandu kerana tidak memasang pendingin hawa.

“Bagaimanapun, pemandu bas kilang berkenaan memberitahu pendingin hawa rosak dan akan dibaiki selepas bengkel dibuka.

“Namun, berlaku pertengkaran antara mereka dan pemandu bas berkenaan yang berang, memukul pekerja kilang terbabit sebelum mangsa membuat laporan polis," katanya.

Zainol berkata, mangsa, pemandu bas serta ejen pekerja dan pengurus bas kilang dipanggil memberi keterangan susulan kes terbabit.

"Hasil perbincanga, mangsa menarik kembali laporan yang dibuatnya dan enggan memanjangkan kes," katanya.

Kejadian berlaku kira-kira 7 pagi, Jumaat lalu, ketika pemandu bas membawa pekerja kilang pulang. Rakaman video terbabit tular di laman sosial.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 4:31pm
d