mutakhir

Bantuan disalurkan segera

Oleh Shamran Sarahan

BANTUAN makanan, perubatan, perlindungan serta kewangan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di Pulau Pinang disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan NADMA itu disalurkan segera kepada Pulau Pinang bagi memastikan mangsa yang terjejas dapat dibantu dengan sewajarnya.

“Kita akan menggunakan peruntukan dari NADMA, bukan saja bantuan kewangan tetapi makanan, perubatan dan peralatan perlindungan.

“Kerajaan juga menggerakkan aset dan anggota dari pelbagi agensi, antaranya tentera, polis, bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela untuk operasi dalam tempoh kurang enam jam selepas arahan (Majlis Keselamatan Negara) dikeluarkan bagi operasi menyelamat,” katanya selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi NADMA menjelaskan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ada menghubunginya sekali lagi pada 12.41 tengah hari, memaklumkan perkembangan terkini banjir di negeri itu.

“€œSaya diberitahu semua agensi dan pasukan keselamatan yang terbabit untuk operasi menyelamatkan sudah digerakkan sepenuhnya di Pulau Pinang,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 4:43pm
d