mutakhir

SOP kementerian elak penyakit

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KEMENTERIAN Kesihatan mempunyai prosedur standard operasi (SOP) menghadapi banjir dengan pasukan kesihatan dan perubatan digerakkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebaik ia dibuka.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, apabila berlaku banjir, pasukan kesihatan akan memastikan air minuman dan makanan bersih selain memastikan kawasan PPS selamat daripada penyakit berjangkit.

Menurutnya, pihaknya mengikut SOP sedia ada, malah pasukan perubatan turut memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan.

“Jika ada keperluan, mereka dirujuk ke hospital,” katanya selepas merasmikan Pusat Bersalin Berisikio Rendah (LRBC) di Hospital Alor Setar, hari ini.

Mengenai air yang memasuki tingkat bawah Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi tadi, beliau berkata, air sudah surut dan kini proses pembersihan sedang dijalankan.

Menurut Subramaniam, 104 pesakit di HPP dipindahkan ke tempat tinggi dan sistem elektrik akan diperiksa sebagai langkah keselamatan.

Mengenai LRBC, beliau berkata, LRBC ditubuhkan sebagai satu langkah mengurangkan kesesakan di hospital.

"Sebanyak 23 peratus pesakit di hospital berkaitan kehamilan, malah ada yang sehingga 30 peratus menyebabkan ia sesak dan tidak cukup katil.

"Melalui pemerhatian kita, 70 peratus pesakit bersalin secara normal,” katanya.

Menurutnya, LRBC menyediakan kakitangan bertugas berpengalaman, kemudahan mencukupi untuk membuat saringan di mana mereka boleh bersalin dalam suasana sihat dan selamat.

"LRBC Alor Setar yang menelan belanja RM860,000 adalah yang ketiga selepas Hospital Putrajaya dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang," katanya.

LRBC Alor Setar mula beroperasi 1 Oktober lalu mempunyai empat katil untuk pesakit sebelum bersalin dan dua bilik bersalin serta ruang menunggu yang selesa.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 7:34pm
d