mutakhir

Bantuan untuk calon SPM

Oleh Nor Farhani Che Ad

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terbabit dengan banjir di Kedah diminta memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekiranya memerlukan pusat penempatan sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, beliau tidak mahu persediaan dan fokus pelajar menghadapi SPM terganggu kerana banjir.

"Sekiranya pelajar memerlukan penempatan sementara bagi persediaan menduduki SPM, saya minta mereka memaklumkan kepada PPD masing-masing untuk kita sediakan sekolah atau asrama.

"Kita tidak mahu disebabkan masalah banjir yang berlaku di beberapa kawasan di negeri menjejaskan persediaan pelajar dalam menghadapi peperiksaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bermesyuarat bersama beberapa agensi di Kuala Muda bagi membincangkan masalah banjir di daerah itu di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai, di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, Tajul Urus berkata, bagi calon SPM di Parlimen Merbok, pihaknya akan menyediakan inap desa atau hotel bagi menempatkan pelajar terjejas banjir buat sementara waktu.

"Saya sudah meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memaklumkan pelajar yang terbabit dalam banjir di Parlimen Merbok.

"Kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk yang pernah berlaku di sini sehingga mengakibatkan kerosakan infrastruktur di kawasan ini," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai.

Katanya, penduduk di kawasan itu yang menerima bekalan air dari Loji Tupah turut terputus bekalan air disebabkan banjir.

"Kerja baik pulih loji dijangka siap selewat-lewatnya 6 petang esok dan kita meminta Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd membekalkan tangki air di penempatan mangsa banjir," katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 8:55pm
d