mutakhir

Siasat tetap siasat [VIDEO]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

POLIS akan tetap menjalankan siasatan terhadap kes pekerja kilang warga Nepal berusia 27 tahun yang dipukul pemandu bas di Air Itam, Georgetown, walaupun mangsa menarik balik laporan polis yang dibuatnya.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya akan membuat tangkapan dalam masa terdekat dan merakam percakapan beberapa saksi.

Katanya, walaupun mangsa dan suspek mahu menyelesaikan perkara itu secara baik, namun polis melihat ada campur tangan pihak lain supaya perkara itu diselesaikan tanpa membabitkan tindakan undang-undang.

“Polis akan membuat tangkapan terhadap suspek dalam masa terdekat dan kemungkinan empat hingga lima saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Selepas siasatan selesai, polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang ditemui selepas melawat mangsa banjir di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 2, Butterworth, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi Jumaat lalu, suspek dipercayai memukul mangsa selepas mangsa memarahinya kerana tidak memasang pendingin hawa.

Rakaman video kejadian itu tular di media sosial.

Disiarkan pada: November 5, 2017 @ 10:02pm
d