mutakhir

RM25,000 untuk mangsa banjir

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

PERTUBUHAN Belia Liga Muslim Pulau Pinang (PBLMPP) tampil menghulurkan bantuan kewangan, barangan dan keperluan asas bernilai lebih RM25,000 kepada mangsa banjir di sekitar Georgetown, 8 malam tadi.

Presiden PBLMPP, Noor Mohamed SPK Abdullah berkata, pihaknya terpanggil membantu mangsa banjir yang mengalami kerugian dan kerosakan harta benda.

Beliau berkata, mereka turun padang menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada 75 keluarga.

"Bantuan dan sumbangan wang tunai disampaikan hasil sumbangan diterima PBLMPP daripada penderma yang memberi sumbangan sejak dari 5 petang semalam.

"Dalam tempoh lima jam lebih 40 ahli PBLMPP turun padang menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan sekitar Georgetown dan Seberang Perai.

"Antara kawasan terbabit terdiri Kampung Dodol, Taman Nusantara, Kampung Masjid dan Lebuh Tampin selain mangsa di pusat pemindahanbanjir di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah," katanya.

Noor Mohamed berkata, pihaknya bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat menyampaikan sumbangan dan bantuan barangan asas termasuk makanan dan minuman, selimut kepada 75 keluarga mangsa banjir.

"Inilah peluang PBLMPP untuk mendekatkan lagi hubungan kemesraan dengan masyarakat agar mereka lebih dihargai dan program kebajikan ini program jangkamasa panjang membantu golongan yang kurang berkemampuan," katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 3:29pm
d