mutakhir

Pendaftaran ditarik balik Januari lalu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan sahkan dua produk tradisional Cina iaitu Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill dan Chong Cao Dan ditarik balik pendaftarannya pada Januari lalu kerana didapati mengandungi Dexamethasone.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua produk berkenaan pernah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) namun, ditarik balik kerana mengandungi bahan beracun.

Beliau berkata, kedua-dua produk berkenaan dipromosi mengandungi bahan herba yang boleh membantu melegakan sakit dan rasa kebas anggota badan serta melancarkan peredaran darah.

"Sepanjang tahun ini, Bahagian Penguatkuasa Farmasi kementerian membuat serbuan ke atas dua premis kedai ubat tradisional cina dan 26 kotak produk Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill dirampas.

"Penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jika sabit kesalahan, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi syarikat yang melakukan kesalahan pula, boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Menurutnya, oleh kerana produk tersebut tidak berdaftar, kualiti dan keselamatan berkaitan penggunaan produk-produk ini tidak dapat dipastikan.

"Pengguna produk-produk ini dinasihatkan untuk tidak memberhentikan pengambilan produk ini secara mendadak dan segera untuk berjumpa dengan doktor," katanya.

Katanya, orang awam adalah digesa untuk tidak membeli produk-produk ini dan digalakkan untuk mengemukakan aduan serta menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan kepada pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk tidak berdaftar.

Media sebelum ini melaporkan dua produk kesihatan tersebut dikesan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Singapura dan didapati mengandungi bahan aktif yang tidak diisytiharkan iaitu Dexamethasone, Furosemide dan Chlorpheniramine.

Malah, Harian Metro pada Jumaat lalu melaporkan, dua warga emas Singapura dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas selepas memakan ubatan tradisional beracun dibawa masuk dari Malaysia.

Susulan itu Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura memberi amaran kepada orang awam supaya mengelak membeli atau menggunakan dua produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam kenyataan akhbar HSA, dua produk diharamkan itu jenama Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill dan Chong Cao Dan.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 7:38pm
d