mutakhir

'Susu anak tak cukup' [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

“SAYA dan suami bimbangkan bekalan susu untuk anak kami yang hanya cukup setakat hari ini sahaja sekiranya tiada bantuan diberikan," kata Fathiah Ghazali, 36.

Fathiah yang tinggal bersama suami serta anaknya berusia dua tahun di Kuarters Masjid Bukit Bendera, Georgetown, kini tidak dapat turun dari kawasan rumah mereka selepas berlakunya tanah runtuh di sepanjang laluan turun dari bukit berkenaan sejak Sabtu lalu.

Difahamkan, terdapat juga keluarga yang bekerja sebagai penjaga banglo, berada di rumah mereka di lokasi berdekatan, turut berhadapan situasi sama.

Fathiah ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia sudah mendapatkan bantuan dan bomba kini sedang berusaha untuk menghantar bantuan sewajarnya.

Menurutnya, bomba menghadapi kesukaran untuk naik ke bukit berkenaan disebabkan berlakunya tanah runtuh di sepanjang laluan itu termasuk keadaan cuaca kurang baik.

"Sejak malam kelmarin bekalan elektrik dan air sudah terputus, saya memang tidak masak disebabkan tiada air dan hanya makan makanan yang ada termasuk mengambil makanan dari kedai kakak di astaka Bukit Bendera.

"Kedai di astaka semua tidak buka lepas kejadian hujan lebat kelmarin dan apa yang paling dibimbangkan ialah susu untuk anak saya yang hampir habis manakala lampin pakai buang hanya tinggal dua keping," katanya.

Menurut Fathiah, dia dan keluarganya terpaksa menumpang tidur di Balai Polis Bukit Bendera berikutan berlakunya tanah runtuh di kawasan belakang rumahnya.

Katanya, apa yang diharapkan sekarang adalah bantuan segera yang dapat diberikan iaitu membawa mereka turun dari kawasan kediaman mereka di bukit berkenaan.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 9:22pm
d