mutakhir

Geng Ah Leong tumpas

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Geng Ah Leong yang terdiri daripada tujuh lelaki berusia dari 19 hingga 50 tahun disyaki aktif menyamun kediaman penduduk di sekitar Cheras dan Kajang dengan mensasarkan rumah tidak berpenghuni pada waktu siang, ditumpaskan Khamis lalu.

Terdahulu, dalam satu kejadian pecah rumah di Cheras, Kuala Lumpur, awal bulan lalu, kumpulan suspek melarikan selaras senapang dan 186 peluru.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, ekoran daripada laporan mangsa, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras menubuhkan pasukan khas untuk mengesan kumpulan berkenaan.

"Hasil daripada risikan yang dijalankan, pasukan khas ini berjaya melakukan tangkapan ke atas geng terbabit pada 3 November lalu di empat lokasi berbeza.

"Mereka terdiri daripada tujuh lelaki warga tempatan berusia dari 19 hingga 50 tahun," katanya ketika sidang media, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menemui semula senjata api yang dilarikan kumpulan berkenaan bersama sejumlah peluru dan pelbagai alatan yang digunakan untuk memecah masuk rumah.

"Polis Kuala Lumpur percaya kumpulan ini terbabit dengan kes pecah rumah di Cheras, Sri Petaling dan Kajang.

"Semua suspek yang ditahan didapati mengambil dadah jenis syabu dan saringan awal air kencing adalah positif jenis methaphetamine," katanya.

Menurutnya, semua suspek kini ditahan reman selama lima hari bermula 3 November.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 10:03pm
d