mutakhir

Mangsa banjir Kedah menurun

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BILANGAN mangsa banjir di Kedah yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurang kepada 2,337 orang membabitkan 616 keluarga setakat 8 malam tadi.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Kedah, Lt Kol (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin sebanyak 21 PPS masih aktif daripada 43 yang dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas.

Katanya, daripada jumlah itu sembilan PPS masih beroperasi di Kuala Muda menempatkan keseluruhan 985 mangsa daripada 260 keluarga.

"Di Kulim, lapan PPS beroperasi dengan jumlah mangsa 1,036 orang daripada 260 keluarga dan masing-masing satu di Yan, Baling, Bandar Baharu dan Pendang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, di Yan, seramai 79 mangsa daripada 22 keluarga masih berada di PPS diikuti Baling (114 mangsa, 43 keluarga), Pendang (25 keluarga, 93 mangsa) dan Bandar Baharu (enam keluarga, 30 mangsa).

Katanya, PPS yang ditutup membabitkan 10 di Kuala Muda, tiga di Yan, lapan di Kulim dan satu di Bandar Baharu.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 11:26pm
d