mutakhir

'Barang' Chennai

Oleh Nursyahirah Marzuki

Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup methamphetamine seberat 27.45 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1.92 juta dalam tiga serbuan sejak dua minggu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/ Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya berkata, pihaknya menahan empat suspek lelaki warga India berusia antara 23 dan 53 tahun dan siasatan awal mendapati semua dadah itu dibawa dari Chennai, India.

Beliau berkata, bagi kes pertama, lima kilogram (kg) dadah bernilai RM350,000 dirampas jam 7.25 pagi pada 20 Oktober lalu di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, KLIA.

“Dadah berkenaan disorokkan di ruangan tersembunyi di dalam dua bagasi. Dalam pada itu, seorang suspek lelaki berusia 53 tahun ditahan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah JKDM KLIA Abdul Wahabi Abdullah dan Timbalan Pengarah JKDM KLIA (Penguatkuasaan/Pematuhan) Abu Kasin Ahmad.

Zulkifli berkata, kes sudah didakwa di mahkamah dan dibicarakan selepas mendapat laporan Jabatan Kimia.

“Bagi kes kedua pula, seorang suspek lelaki berumur 23 tahun ditahan di klia2 selepas pemeriksaan melalui mesin pengimbas dijalankan ke atas dua bagasinya mengesan 8.4kg dadah bernilai RM588,000.

“Dadah itu disorokkan dalam 35 beg kecil. Suspek itu direman di Mahkamah Majistret Sesyen Sepang, Selangor untuk siasatan lanjut.

“Kes ketiga pula, kami merampas 14.05kg dadah bernilai RM983,500 pada Khamis lalu jam 7.40 pagi. Sehubungan itu, dua suspek berusia 43 dan 52 tahun ditahan,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan mendapati dua daripada bagasi dibawa suspek membawa bahan terlarang disyaki dadah.

Zulkifli berkata, dadah terbabit disorokkan di dalam dua tin biskut yang turut diisi serbuk kunyit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, kedua-dua suspek yang tiba di negara ini menggunakan penerbangan tempatan dari India ke Kuala Lumpur kini direman untuk siasatan lanjut.

“Semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 4:48am
d