mutakhir

RM1.9j dirampas, 44 akaun dibeku

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Wang tunai RM1.9 juta dirampas dan 44 akaun bank berjumlah RM2 juta dibekukan.

Itu tindakan diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terhadap 22 suspek yang ditahan berhubung pencerobohan nelayan asing di perairan negara menerusi Ops Armada di beberapa negeri, kelmarin.

Operasi dijalankan menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu dilaksanakan di Pahang, Terengganu, Sarawak, Sabah dan Labuan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, suspek membabitkan tujuh warga Vietnam termasuk dua wanita dengan seorang bergelar Datuk, lima pegawai APMM dan seorang pegawai Jabatan Perikanan serta sembilan warga tempatan terdiri daripada pengusaha bot dan orang tengah ditahan untuk siasatan.

Menurutnya, tindakan operasi bermula dengan pembangunan maklumat diterima SPRM serta perkongsian antara suruhanjaya itu dan APMM berkaitan isu pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam.

“Kesalahan yang dilakukan dilindungi dengan perbuatan rasuah membabitkan orang tengah berkenaan serta pegawai APMM dan Jabatan Perikanan.

“Pemilik bot nelayan asing ini sanggup membayar wang berjumlah antara RM50,000 dan RM200,000 bagi setiap bot untuk dilepaskan daripada dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media bersama APMM, semalam.

Difahamkan, suspek wanita Vietnam bergelar Datuk itu adalah dalang utama kegiatan berkenaan dan beliau berkahwin dengan warga Malaysia serta tidak memiliki status pemastautin tetap dan pernah menjadi jurubahasa mahkamah di negara ini.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata, ada tiga modus operandi pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara iaitu sama ada masuk secara terus, menggunakan bot dengan nombor pendaftaran klon selain meletakkan bendera Malaysia dan ketiga ialah menggunakan permit nelayan tempatan disalahgunakan dengan sedikit bayaran.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 4:51am
d