mutakhir

Rezeki menjala

Oleh HM Digital

Tasek Gelugor: Penduduk di sekitar Sungai Jarak/Sungai Tok Keramat, di sini, tidak melepaskan peluang menjala ikan selepas berlakunya limpahan air di sungai berkenaan.

Limpahan air itu menenggelamkan sebahagian besar sungai berikutan pintu air daripada Sungai Kulim, Kedah pecah.

Tinjauan Harian Metro di kawasan itu mendapati air mula surut berbanding kelmarin, namun kawasan itu dipenuhi penduduk kampung yang mahu melihat sendiri kawasan sungai dilimpahi air.

Bukan setakat itu, kawasan berkenaan bagaikan pesta apabila dipenuhi orang ramai yang datang menjala ikan.

Penduduk, Zakaria Ali, 47, berkata, dia selalu menjala ikan di sungai itu, namun kali ini berbeza apabila kebanyakan ikan yang diperolehnya adalah baung.

“Sebelum ini, saya hanya dapat ikan tilapia dan lampam, namun kali ini saya dapat tangkap banyak ikan baung dan hasil itu akan dijual kepada penduduk.

“Bukan mahu mengambil keuntungan, saya hanya suka-suka dan harga ikan yang dijual pula murah bukan seperti harga di pasaran,” katanya.

Penduduk, Mohd Asri Yahya, 51, berkata air yang naik sejak kelmarin menyebabkan dia menjala ikan.

Seperti Zakaria, Mohd Asri menjual hasil diperolehnya kepada penduduk dan kebanyakan mereka dilihat menunggu untuk membeli ikan.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 6:47am
d