mutakhir

Uncle Lee kena penjara

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

LEE Kee Heong, 63, dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh di sini, hari ini selepas mengaku salah atas dua tuduhan menawar dan memberi rasuah kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ogos tahun lalu.

Hakim S Indera Nehru turut memerintahkan Lee dipenjara dua minggu jika gagal membayar denda berkenaan.

Lelaki terbabit didakwa menawarkan rasuah RM2,000 kepada Penolong Pegawai Imigresen Abdul Majid Mohamed sebagai dorongan untuk melepaskan Qaiser Iftikhar kerana melakukan kesalahan berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas lawatan.

Lee didakwa melakukan kesalahan itu melalui panggilan telefon di Bandar Baru Klebang dekat sini, jam 6.07 petang 17 Ogos 2016.

Lee turut didakwa memberi rasuah RM1,000 kepada pegawai sama di Restoran McDonald di Bandar Meru Raya dekat sini, jam 6.30 petang keesokan harinya.

Kedua-dua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 1959/63, sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau yang mana lebih tinggi.

Indera Nehru memerintahkan Lee dipenjara dua bulan bagi setiap kesalahan daripada tarikh dia ditangkap pada 15 September lalu dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam KC Lai.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 11:57am
d