mutakhir

Buruh kena 15 sebatan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BURUH dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 15 sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap empat tuduhan memiliki heroin dan racun, Mei lalu.

Hakim Ahmad Bazli Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Azlan Yacob, 40, mengaku salah terhadap semua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 10 Mei 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki 10 botol plastik berisi heroin seberat 10.59 gram di sebelah rumah tidak bernombor di Kampung Perupok, Bachok pada jam 5.50 petang, 10 Mei 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki methampetamine seberat 0.4 gram pada tarikh, waktu dan lokasi sama yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan dihukum di bawah seksyen 12(3) akta sama.

Pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh turut didakwa memiliki 2,870 mililiter racun Mytagynine dan 145 mililiter racun Diphenhydramine.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 2:48pm
d