mutakhir

Pensyarah, cikgu, pelajar sama-sama 'genius'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PROJEK biogas menggunakan sisa makanan serta najis lembu bagi menghasilkan gas memasak mengangkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al Bukhary, Alor Setar, Kedah sebagai johan pertandingan Inovasi Rumah Lestari (IG Home) Fasa 1 2017.

Pertandingan anjuran Pintar Foundation dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta ditaja Yayasan Hasanah itu disertai 13 sekolah.

Setiap sekolah perlu melengkapi satu daripada enam modul ditetapkan penganjur iaitu modul sisa pepejal, kompos, biogas, tuaian air hujan, bumbung hijau dan binaan lestari.

Guru Penyelaras Projek IG Home SMK Syed Mohamed Al Bukhary Haruddaini Halim berkata, 40 pelajar tingkatan satu dan dua sekolah itu terbabit menjayakan projek berkenaan sejak 27 Mei lalu.

“Sekolah kami dipilih menyediakan modul biogas yang agak mencabar untuk dilaksanakan. Namun hasil tunjuk ajar pensyarah UKM, kami berjaya menghasilkan gas metana walaupun terpaksa menahan bau busuk najis dan sisa makanan.

“Syukur kerana pelajar memberi komitmen sangat baik dan mereka sanggup datang setiap hari cuti untuk menyelenggara projek ini yang kami dirikan di perkarangan sekolah yang kami namakan Perkampungan IG Home,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penutup Program Pintar-UKM-UKM 'Sustainablity & Green Technology Through IG Home Module' Fasa 1 2017 di TH Hotel, Alor Setar.

Menceritakan proses menghasilkan biogas itu, Haruddaini berkata, pada mulanya najis lembu dimasukkan ke tangki simpanan tertutup.

Katanya, setiap hari pelajar akan bergilir memasukkan sisa makanan yang dikumpul daripada dapur kantin yang dikisar halus dan selepas 12 jam, gas mula terhasil.

“Selepas itu, kami hanya perlu menyambung saluran gas daripada tempat simpanan berkenaan untuk digunakan sebagai gas memasak.

“Selain modul biogas, kami juga membina lima modul lain di Perkampungan IG Home berikutan mendapat kerjasama baik daripada sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, peserta, Muhamad Nor Adam Shamsul Anuar, 13, berkata, dia rasa bertuah dapat menyertai projek berkenaan sekali gus dapat mengaplikasi projek terbabit di rumahnya.

Katanya, dia dapat mempelajari secara praktikal mengenai sains dan alam yang memberi banyak manfaat kepada manusia seterusnya terhadap kelestarian bumi.

Terdahulu, turut berlangsung majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dan Pintar Foundation bertujuan melanjutkan program IG Home kepada 17 sekolah lain di Kedah tahun depan.

UKM diwakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakatnya, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah manakala Pintar Foundation diwakili Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Tan Sri Arshad Ayub.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 3:02pm
d