mutakhir

Mohon peruntukkan RM1 bilion

Oleh Shamsul Munir Safini

JABATAN Pengairan dan Saliran Pulau Pinang memohon peruntukkan RM1 bilion daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir di sungai utama di Pulau Pinang.

Pengarahnya Ir Sabri Abdul Mulok berkata, permohonan itu dibuat ketika sesi lawatan Najib ke pusat penempatan sementara banjir di Pejabat Daerah dan Tanah di Bukit Mertajam 10.30 pagi hari ini.

Menurutnya, peruntukkan itu akan digunakan bagi menaik taraf kelengkapan di sungai utama di Pulau Pinang.

Katanya, perkara itu disuarakan kepada Najib ketika memberi penerangan mengenai situasi terkini banjir di daerah Seberang Perai Utara (SPU) akibat limpahan air sungai di kawasan berkenaan.

Sabri berkata, tiga ban di daerah SPU dilaporkan musnah teruk manakala ‘headwork’ (pintu ibu bekalan) di Sungai Jarak rosak ekoran aliran air yang terlalu kuat akibat hujan lebat Sabtu lalu.

Beliau berkata, maklumat yang tular kononnya pintu empangan di Sungai Jarak pecah adalah tidak benar sedangkan di situ tiada empangan.

“Di situ hanya terdapat pintu ibu bekalan yang akan mengalirkan air Sungai Prai ke tali air sawah di kawasan berkenaan.

“Pada hari kejadian ‘headwork’ rosak dan akibat hujan lebat, air melimpah melepasinya. Kejadian itu bukan punca berlakunya banjir kerana ketika hujan lebat, pintu headwork memang akan ditutup,” katanya selepas memberi penerangan kepada Najib pada sesi lawatannya ke Bukit Mertajam hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Kiong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Hadir sama, Penasihat Khas Perdana Menteri bagi Wilayah Koridor Utara (NCER) Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 3:49pm
d