mutakhir

Bangun semula Pasar Besar Gombak, bina RUMAWIP

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

PASAR Besar Gombak bakal berwajah baru apabila ia akan dibangunkan semula dengan konsep lebih moden selain menyediakan kawasan perumahan mampu milik kepada warga kota.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, projek berkenaan adalah inisiatif kerajaan bagi membantu peniaga di pasar yang sudah berusia 32 tahun itu.

Kata beliau, pembangunan semula itu akan membabitkan bangunan komersil sembilan tingkat yang turut menempatkan lot perniagaan, pasar basah, pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pejabat kesihatan, surau serta dewan serba guna.

“Selain itu, satu blok kediaman Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) 44 tingkat juga akan dibina bersebelahan.

“Kerajaan berharap pembangunan projek ini dapat membantu merancakkan kembali perniagaan di Pasar Besar Gombak selain memperbanyakkan lagi penyediaan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembangunan Semula Pasar Besar Gombak di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

Pada masa sama, Tengku Adnan berkata, projek pembangunan itu hanya akan bermula selepas proses pengosongan bangunan selesai dilaksanakan dan tempoh pembinaan dijangka selama 42 bulan.

Kata beliau, RUMAWIP dikenali sebagai Inspiria itu menawarkan 900 unit pada harga jualan RM298,000 seunit berkeluasan kira-kira 815 kaki persegi.

“Kediaman ini didatangkan dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta seunit parkir kenderaan.

“Lebih menarik, kemudahan ditawarkan pada projek ini bertaraf kondominium,” katanya.

Sementara itu, sehingga September lalu, kementerian berkenaan berjaya melaksanakan 70,292 unit atau 88 peratus sasaran keseluruhan projek RUMAWIP.

Kata Tengku Adnan, ia merangkumi projek di bawah kategori Siap, Dalam Pembinaan serta Kelulusan Perintah Pembangunan.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 5:00pm
d