mutakhir

Alhamdulillah banjir semakin surut

Oleh Aizat Sharif

JUMLAH mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah terus menunjukkan pengurangan selepas banyak kawasan yang dinaiki air semakin surut, ditambah cuaca cerah sejak kelmarin.

Sehingga 4 petang ini, 442 mangsa daripada 112 keluarga masih berada di sembilan PPS yang masih dibuka di empat daerah iaitu di Kuala Muda, Kulim, Baling dan Pendang berbanding 982 mangsa yang direkodkan pada 8 pagi, hari ini.

Dalam satu kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Kedah kepada media, PPS di Pendang merekodkan bilangan mangsa teramai iaitu 187 orang daripada 49 keluarga diikuti Kuala Muda (174), Kulim (73) dan Baling (8).

Katanya, PPS yang ditutup masing-masing membabitkan satu di Kuala Muda dan Bandar Baharu.

"PPS yang ditutup di Kuala Muda adalah di PPS Dewan Taman Bedong Jaya, Mukim Semeling yang ditutup 2 petang hari ini manakala di Bandar Baharu pula, PPS yang ditutup adalah di PPS Sekolah Kebangsaan Selama, Mukim Selama yang ditutup 3 petang hari ini yang mana kesemua mangsa pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 5:53pm
d