mutakhir

Hanyut sampai ke perairan Thailand

Oleh Hamzah Osman

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara menyelamatkan lima kru bot tunda selepas bot itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut selama 32 jam sehingga memasuki perairan Thailand.

Dalam kejadian itu, bot tunda yang dimiliki Syarikat Gimhwak Enterprise Sdn Bhd dan didaftarkan di Sibu, Sarawak dilaporkan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Sandakan, Sabah.

Semua kru ditemui selamat oleh anggota APMM pada jarak kira-kira 50 batu nautika di barat perairan pulau Langkawi pada 9.50 malam tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Utara APMM, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, sejurus menerima aduan daripada pemilik bot dikenali Lee Shih Kang, pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan Kapal Peronda Maritim Malaysia (KM Marlin).

"Pengadu mengatakan bot tunda dinaiki lima kru yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Sandakan dikesan berubah haluan sebelum terputus hubungan.

"Sejurus itu, KM Marlin yang ketika itu sedang melakukan Operasi Khas Satria Utara di perairan Perak diarahkan mengesan bot tunda itu sebelum menemuinya kira-kira 9.50 malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rozali berkata, peringkat awal pihaknya mengalami sedikit kesukaran melakukan SAR ekoran bot terbabit tidak dilengkapi alat untuk membuat isyarat kecemasan bagi memudahkan pasukan mengesan kedudukan mereka.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama dan kebenaran daripada pihak berkuasa Thailand.

"Siasatan awal mendapati bot tunda itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut dibawa arus. Semua kru tidak mengalami sebarang kecederaan dan bot ditunda ke jeti APMM di Bukit Malut Langkawi.

"Justeru, saya menasihatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan faktor keselamatan serta memasang peralatan kecemasan lengkap dalam bot masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 7:01pm
d