mutakhir

BNM tawar Kemudahan Bantuan Bencana

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

BANK Negara Malaysia (BNM) menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana berjumlah RM500 juta untuk meringankan beban perniagaan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri di semenanjung Malaysia.

BNM dalam satu kenyataan berkata, menerusi kemudahan itu, perniagaan yang terjejas boleh mendapatkan pembiayaan pada kadar yang lebih rendah daripada semua bank perdagangan, bank Islam, SME Bank, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank).

"BNM akan menyediakan jaminan sebanyak 60 peratus untuk pembiayaan yang diperoleh melalui Credit Guarantee Corporation Berhad (CGC).

"Tiada cagaran tambahan diperlukan untuk pembiayaan di bawah Kemudahan Bantuan Khas ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, pembiayaan itu disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik warga negara Malaysia yang terjejas di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan banjir.

"Jumlah pembiayaan maksimum kemudahan itu sebanyak RM500,000 bagi setiap kumpulan syarikat dan kadar pembiayaan efektif sehingga 2.25 peratus setahun.

"Tempoh pembiayaan sehingga lima tahun dengan tempoh penangguhan bayaran selama enam bulan. Pembiayaan adalah untuk tujuan pembaikan dan pembelian aset untuk menggantikan aset yang rosak akibat banjir serta modal kerja," katanya.

Jelas kenyataan itu, perusahaan perniagaan yang memerlukan bantuan boleh mengemukakan permohonan kepada mana-mana institusi kewangan peserta.

"Kemudahan ini disediakan mulai esok sehingga 31 Mei 2018.

"Orang ramai boleh menghubungi terus pusat perhubungan pelanggan institusi kewangan mereka untuk pertanyaan atau bantuan. Orang ramai juga boleh menghubungi Telelink BNM ditalian 1-300-88-5465 untuk maklumat lanjut atau bantuan,"katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 8:52pm
d