mutakhir

Portal rujukan gamers

Oleh Hafiz Ithnin

MEDIA Prima Bhd (Media Prima) menerusi Media Prima Labs melancarkan portal terbarunya, MyGameOn yang menyediakan kandungan berita, reviu dan acara terkini industri game dalam dan luar negara.

Portal itu yang disasarkan kepada pelanggan urban dan separa urban berusia antara 12 hingga 25 tahun dijangka dapat meraih 300,000 pengunjung unik dalam tempoh enam bulan pertama pelancarannya.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs dan Operasi, Nicholas Sagau berkata, pengenalan MyGameOn itu adalah hasil kerjasama strategik bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Garena yang menyediakan kandungan portal berkenaan.

Beliau berkata, MyGameOn adalah langkah yang dilaksanakan oleh Media Prima untuk meraih pendapatan baru menerusi perkembangan digital dan sukan game yang terus mendapat perhatian daripada peminatnya.

“Antara ciri menarik MyGameOn ialah pelawat boleh melihat jadual bagi kejohanan semasa, maklumat lanjut, temu ramah bersama pasukan profesional malahan mereka boleh membeli tiket untuk menonton kejohanan e-sukan.

“Selain itu, MyGameOn juga mampu membangunkan industri kreatif tempatan memandangkan ia menjadi platform untuk mendedahkan serta menggalakkan bakat tempatan terutamanya pembangun game berpotensi,” katanya pada majlis pelancaran MyGameOn di Kuala Lumpur, semalam.

Sempena pelancaran portal berkenaan, Media Prima Labs menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang boleh didapati di www.mygameon.my

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 9:18pm
d