mutakhir

Padah mencuri

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

LELAKI yang melarikan telefon bimbit milik seorang saintis dari New Zealand ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun tiba di negeri ini untuk melancong sejak beberapa hari lalu sedang melipat pakaian di sebuah dobi layan diri di Jalan Padungan di Kuching.

Tiba-tiba suspek berusia 22 tahun datang sebelum melarikan telefon bimbit Iphone 7 milik mangsa diletakkan di atas meja.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Abang Junaidi Abang Anuar berkata, mangsa kemudiannya mengejar suspek sambil menjerit meminta bantuan orang awam.

Menurutnya, orang awam yang menyedari kejadian kemudian turut membantu mangsa sebelum suspek ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Suspek meronta cuba meloloskan diri ketika ditahan namun gagal. Mangsa menemui semula telefon bimbit dilarikan.

"Polis yang dipanggil ke lokasi kejadian kemudiannya menahan suspek dan dibawa ke Balai Polis Sentral untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala siasatan mendapati suspek adalah gelendangan yang menjual gambir di sekitar bandar ini.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau berhubung kes penyalahgunaan bahan terlarang itu sebelum ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 11:20am
d