mutakhir

Manfaatkan peluang

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

PETANI di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) diminta untuk memanfaatkan bantuan Kerajaan Persekutuan sebaik mungkin untuk memastikan Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil KADA berjaya.

Pengerusi Majlis Pertanian Parlimen Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, bagi memastikan kejayaan itu, 159 petani kawasan Wakaf Bharu dijadikan asas utama dalam mencari petani berskala besar.

Katanya, daripada jumlah penerima terbabit, pihaknya akan mencari perintis yang berjaya, bagi membolehkan sumbangan berskala besar dapat diberikan.

"Penerima bantuan hari ini terdiri daripada mereka yang betul layak dan pakar dalam bidang masing-masing agar program ini berjaya.

"Di Parlimen Tumpat, belum ada petani yang mampu menguruskan bidang penternakan dan perladangan dalam skala besar. Jadi untuk ke arah kita akan pantau dan bimbing mereka," katanya ketika ditemui selepas Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil 2017 KADA Jajahan Tumpat, di Pejabat KADA Jajahan Tumpat hari ini.

Dalam majlis itu, Mohd Rosdi turut menyampaikan bantuan kepada 159 petani membabitkan pelbagai jenis ternakan dan peralatan pertanian keseluruhan bernilai RM221,200.

Mengulas lanjut, Rosdi yang juga Ahli Lembaga KADA berkata, pada tahun ini, pihaknya sudah mengagihkan sejumlah RM2.4 Juta bantuan kepada 2,000 petani di enam jajahan KADA.

"Antara bantuan yang diberikan adalah peralatan kecil pertanian seperti mesin rumput, penyembur racun, pam air selain bantuan ternakan biri-biri melalui sistem pawah.

"Insya-Allah peruntukan akan ditambah sekiranya program ini berjaya dan lebih ramai yang akan menerima manfaat," katanya.

Sementara itu, seorang penerima Mat Yusof Mat Musa, 67, berkata, akan memanfaatkan bantuan 100 itik yang diperoleh hari ini, sebaik mungkin.

"Di rumah di Kampung Kebakat, saya sudah menternak 700 itik telur dan mampu membekalkan 1,500 telur di pasaran.

"Insya-Allah dengan bantuan yang diterima ini, saya berharap pendapatan bulanan akan bertambah berikutan permintaan telur itik yang agak tinggi," katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 2:18pm
d