mutakhir

Terima kasih daun keladi Hanis

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

INISIATIF diambil seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, mengumpul sumbangan daripada rakan dan keluarga bagi menjayakan Majlis Santapan Diraja (UTM Royal Gala Dinner) 2017 dihargai pihak universiti yang menjemputnya ke majlis berkenaan di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

UTM Royal Gala Dinner 2017 itu dianjurkan julung kalinya dengan tujuan mengumpul sumbangan bagi membantu mahasiswa UTM yang kurang berkemampuan.

Nur Hanis Nor Kamal, 24, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Industri) tahun tiga berkata, dia mendapat tahu tentang penganjuran majlis berkenaan di media sosial dan terpanggil untuk menghulur sumbangan.

“Saya tidak teragak-agak untuk menyertai usaha mengumpul sumbangan apabila mengetahui ia untuk membantu penuntut memerlukan.

“Walaupun syarikat korporat ada yang menyumbang, sudah pasti dalam jumlah besar, namun saya yakin sumbangan ini, walaupun kecil, ia dapat meringankan beban rakan yang memerlukan.

“Saya berusaha selama sebulan dan hasilnya, saya dapat mengumpul RM1,500. Ia sumbangan ibu bapa, keluarga, saudara mara dan rakan. Wang itu saya serahkan kepada Pejabat Wakaf UTM, 1 November lalu,” katanya, hari ini.

Menurut Nur Hanis, dia tidak menjangka sumbangan itu dihargai pihak universiti yang kemudian menjemputnya untuk menghadiri majlis berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Unit Endowmen UTM Prof Madya Dr Yusof Boon berkata, pihaknya menyambut baik usaha penuntut UTM membantu mendapatkan sumbangan.

“Menerusi pelbagai program anjuran Unit Endowmen dalam membantu meringankan beban mahasiswa, kita lebih kepada memohon sumbangan daripada syarikat korporat atau individu, bukan mahasiswa sendiri.

“Tetapi, mungkin ada dalam kalangan mahasiswa yang berkemampuan dan terpanggil untuk membantu rakan-rakan mereka yang memerlukan, kita amat menghargainya,” katanya yang mensasarkan dapat mengumpul RM2 juta pada penganjuran majlis berkenaan.

Canselor UTM yang juga Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dijadualkan mencemar duli berangkat ke UTM Royal Gala Dinner 2017 yang diadakan di Dewan Residensi, UTM Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Sumbangan masih dibuka dan mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh ke www.giving.utm.my untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 7:30pm
d