mutakhir

Ajal imam

Oleh Nur Syazwana Mansor

IMAM masjid di Kampung Telaga Batu, Sik maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya bertembung dengan lori di Selekoh Duyong, Telaga Batu hari ini.

Dalam kejadian 12.20 tengah hari itu, Ahmad Hishamudim Ahmad, 62, yang parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sik.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sik namun disahkan meninggal dunia jam 3.15 petang.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan dari Gulau menuju pekan Sik terbabas di selekoh tajam lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.

"Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Sik.

"Pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.30 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian 12 minit kemudian.

"Sebaik tiba mendapati seorang mangsa tersepit dan kerja-kerja penyelamatan dijalankan untuk mengeluarkannya.

"Mangsa yang berjaya dibawa keluar kemudian diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 8:20pm
d