mutakhir

Pencuri berbaju kurung merah jambu

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENIAGA kedai makan berhampiran Kompleks Peruda, Alor Setar kerugian RM6,000 selepas wang jualan yang disimpan di dalam beg pinggangnya dicuri pelanggan wanita hari ini.

Lelaki berusia 57 tahun itu hanya menyedari kehilangan wang tunai itu pada 10 pagi selepas tidak menemui begnya yang disimpan di dalam laci meja membungkus makanan dan tempat pembayaran.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa yang mengesyaki beg itu dicuri kemudian melihat rakaman kamera tertutup (CCTV) di premisnya.

Menurutnya, mangsa kemudian melihat wanita berpakaian baju kurung merah jambu mencuri beg pinggangnya dengan membuka laci itu ketika lelaki terbabit sibuk membungkus nasi jam 9.50 pagi.

"Dalam beg itu mengandungi wang tunai RM6,000 dan dokumen pengenalan diri.

"Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Setar untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rozi berkata, siasatan mendapati ketika kejadian terdapat ramai pelanggan menyebabkan mangsa tidak menyedari perbuatan suspek.

"Mangsa juga mengecam suspek kerana wanita itu kerap datang ke kedainya membeli makanan dengan menaiki kereta Perodua Myvi.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek kini dikesan bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 10:25pm
d