mutakhir

Tahu pula menangis

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Seorang lelaki dilihat menangis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tiga pertuduhan termasuk merogol.

Suasana ketika itu sebak apabila seorang wanita mengesat air mata lelaki itu sebelum prosiding bermula.

Lelaki terbabit yang juga pekerja di sebuah kilang didakwa atas tiga pertuduhan termasuk merogol penuntut sebuah universiti tempatan berusia 22 tahun minggu lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh Amirulfaizal Amiruddin, 27, didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (b) iaitu merogol mangsa dan meletakkan wanita itu dalam ketakutan kematian di bawah pokok di belakang sebuah pangsapuri di Jalan Keluli, Seksyen 7, di sini antara jam 8.30 malam sehingga 10.30 malam, 1 November lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Untuk pertuduhan kedua, Amirulfaizal didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama iaitu melakukan persetubuhan luar tabii dengan memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa tanpa kerelaannya di tempat, tarikh serta masa sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta disebat.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, melakukan samun dengan menggunakan sebilah pisau terhadap mangsa sama dengan mengugutnya menyerahkan telefon bimbit jenis Samsung J2 Prime dan wang tunai RM100.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa sama dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan didenda serta dikenakan sebatan.

Tertuduh yang memakai kemeja-T merah dan seluar denim cerah itu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basri sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Dalam kejadian 1 November lalu mangsa diperdaya seorang lelaki yang berpura-pura bertanyakan arah jalan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa yang berseorangan itu baru pulang dari pasar malam di Seksyen 7, di sini, menghala ke sebuah hentian bas sebelum didatangi lelaki itu.

Lelaki itu berpura-pura bertanyakan arah jalan kepada mangsa seterusnya mengacukan pisau dan menarik mangsa ke dalam kereta lalu menghala ke kawasan kilang berhampiran pangsapuri di Seksyen 7.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 9:52am
d