mutakhir

Bukti khianat

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Lima kesan cecair mudah terbakar dipercayai petrol yang ditemui menjadi bukti perbuatan khianat yang menyebabkan semua ruang niaga tingkat atas Pasar Besar Seremban, di sini musnah dalam kebakaran, 9 September lalu.

Cecair berkenaan ditemui pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan serta unit Anjing Pengesan (K9) yang menunjukkan lokasi api bermula.

Pengarah JBPM Norazam Khamis berkata, hasil siasatan menemui kesan cecair mudah terbakar di hadapan premis makanan dan minuman bernombor 758A di tingkat atas pasar itu.

Pada masa sama, dua anjing pengesan juga menunjukkan isyarat di lokasi sama pada hari kejadian.

“Sampel bahan itu dianalisis di Makmal Penyiasatan Kebakaran JBPM dan hasilnya, lima sampel cecair mudah terbakar dikenal pasti sebagai petrol.

“Kebakaran dipercayai disebabkan petrol disimbah di hadapan pintu tirai premis terbabit sebelum api dinyalakan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Norazam berkata, berikutan itu, JBPM menyerahkan kes berkenaan kepada polis pada 15 September lalu untuk siasatan.

Sementara itu, Mohamad berkata, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

Harian Metro melaporkan, Pasar Besar Seremban yang menjadi tumpuan penduduk mendapatkan barang keperluan harian musnah dalam kebakaran jam 7 malam.

Kebakaran itu membabitkan ruang perniagaan di tingkat satu yang menempatkan 300 premis antaranya kedai makan, tempat menjual ikan, buah-buahan, pakaian dan bunga terbakar 90 peratus.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 9:57am
d