mutakhir

'Cikgu habis tenaga'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: “Kami sempat minta maaf dan tawakal kepada Allah sebelum saya berenang ke darat sejauh dua kilometer dengan menggunakan enjin bot ke jeti Pulau Kundor untuk mendapatkan bantuan,” kata Wan Zaidi Wan Hussin, 57, salah seorang mangsa bot terbalik di muara Kuala Besar, Jalan PCB, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, bot yang dalam perjalanan pulang itu terbalik selepas dipukul ombak sebelum Wan Zaidi dan rakannya, Wan Husin Wan Abdullah, 62, terpaksa berpaut pada bot selama tiga jam untuk menyelamatkan diri.

Wan Zaidi ditemui orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas berenang selama sejam ke daratan, manakala sehingga jam 5 petang semalam, Wan Husin masih hilang.

Wan Zaidi berkata, dia bersama rakan yang dipanggil Cikgu, turun ke laut jam 2.30 petang dan sempat menangkap ikan, sotong serta udang selama satu jam sebelum bergerak pulang.

Sebaik tiba di muara Kuala Besar dua kilometer dari jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Besar, bot mereka secara tiba-tiba dipukul ombak sebelum terbalik.

“Kami terpaksa berpaut di kepala bot hampir tiga jam sambil minta tolong, namun suara kami tidak didengari kerana hujan lebat dan keadaan sudah gelap. Selepas mendengar azan Maghrib, kami berbincang mahu berenang ke darat untuk minta bantuan.

“Saya menyuruh rakan yang dikenali sebagai Cikgu itu supaya berenang dengan bantuan enjin bot, namun dia memberitahu tiada tenaga kerana sejuk dan lapar.

“Berbekalkan semangat yang tinggi, saya berenang hampir satu jam untuk mendapatkan bantuan sementara Cikgu masih berpaut pada bot.

“Apabila tiba di darat jam 7.45 malam, saya diselamatkan orang awam sebelum saya pengsan seketika,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Pisang, Jalan PCB, semalam.

Menurutnya, penduduk kampung terus membantu mencari dan menyelamat rakannya sebelum memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, isteri Wan Husin, Samariah Yusoff, 59, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa suaminya pada jam 8.30 malam.

Sebelum kejadian, suaminya tergesa-gesa keluar rumah jam 1.30 tengah hari semalam (kelmarin) sebaik selesai solat Zuhur.

“Biasanya kami solat berjemaah, tetapi semalam (kelmarin) suami tergesa-gesa kerana berjanji dengan rakannya untuk ke laut. Saya sempat melarang suami supaya jangan turun ke laut kerana langit gelap dan cuaca buruk, namun suami terus menunggang motosikal meninggalkan saya.

“Saya reda dengan kejadian ini dan berharap suami ditemui dengan selamat,” katanya yang juga pesara guru.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kota Bharu Penguasa Bomba Kanan II Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.04 malam sebelum seramai enam anggota Unit Skuba bergegas ke lokasi kejadian.

Mereka tiba jam 8.40 malam dan meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa sebelum dihentikan kerana keadaan cuaca buruk serta laut bergelora.

“Kami bersama polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan 22 nelayan meneruskan operasi jam 7 pagi ini (semalam) namun jam 5 petang ini, mangsa masih belum ditemui.

“Walaupun keadaan cuaca kurang baik, kami meneruskan operasi di sekitar 11 kilometer dari Kuala Besar hingga ke Tumpat,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 10:08am
d