mutakhir

Jambatan tenggelam kali ke-24

Oleh Ramli Ibrahim

LEBIH 300 murid dan pelajar di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang, Kelantan terkandas selepas jambatan sementara kampung itu ditenggelami air hari ini.

Jambatan menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli itu ditutup kepada semua kenderaan selepas paras air Sungai Nenggiri naik mendadak mulai jam 6.30 pagi berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Berikutan itu, murid dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Star serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Jerek terpaksa menyeberang sungai menggunakan bot.

Penduduk, Samat Abdullah, 51, berkata, sejak awal bulan ini, sudah dua kali jambatan sementara berkenaan ditenggelami air.

“Anak saya menaiki bot untuk menyeberang sungai malah tiba lewat ke sekolah kerana perlu menunggu giliran bagi menaiki bot berkenaan.

“Guru dan penjawat awam yang melalui jambatan ini pada setiap hari juga berdepan masalah sama malah mereka perlu meninggalkan kenderaan di seberang sungai sebelum menaiki bot ke tempat kerja,” katanya.

Harian Metro pada 5 November lalu melaporkan, jambatan sementara menghubungkan jalan Gua Musang itu ditenggelami air Sungai Nenggiri buat kali ke-23.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 11:04am
d