mutakhir

Doa buat Wan Husin

Oleh Rosliza Mohamed

OPERASI mencari dan menyelamat pesara guru yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki terbalik di Kuala Besar, Kota Bharu, kelmarin diperluaskan sehingga 20 kilometer bermula 9 pagi hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang kelmarin, bot yang dalam perjalanan pulang itu terbalik selepas dipukul ombak sebelum Wan Zaidi Wan Hussin, 57, dan rakannya, Wan Husin Wan Abdullah, 62, terpaksa berpaut pada bot selama tiga jam untuk menyelamatkan diri.

Wan Zaidi ditemui orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas berenang selama sejam ke daratan manakala sehingga kini, Wan Husin masih belum ditemui.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Pegawai Bomba Kanan II Ayub Mustafa berkata, hari ini seramai 49 orang membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan nelayan melakukan pencarian itu.

Katanya, gerakan mencari bermula dari jam 9 pagi sehingga lewat petang.

"Selepas menerima laporan kejadian semalam, gerakan mencari dilakukan bersama agensi lain membabitkan tujuh bot di kawasan sejauh kira-kira 20 kilometer termasuk sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat.

"Selain itu pencarian juga dilakukan di pesisiran pantai kawasan berhampiran Kuala Besar," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga tengah hari ini Wan Husin masih belum ditemui selepas gerakan mencari dan menyelamatkan dilakukan sejak semalam.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian turut kelihatan dua anak mangsa membaca surah Yasin.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 12:45pm
d