mutakhir

Kantoi bawa 817 kad kredit palsu

Oleh Norasikin Daineh

LELAKI ditahan bersama 817 kad kredit klon di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 35 tahun itu baru sahaja tiba dari Hong Kong ke negeri ini pada 1.25 pagi.

Menurut sumber, mesin pengimbas menunjukkan imej yang meragukan ketika beg galas yang dibawa penumpang itu diimbas.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati beg galas itu berisi empat kotak yang mengandungi kad kredit pelbagai jenis bank.

Sumber berkata, notis terhadap lelaki itu dikeluarkan untuk menahan barang yang dibawa kerana terdapat kemungkinan penumpang itu terbabit sindiket kad kredit palsu.

Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan penahanan dan rampasan itu dibuat di KKIA semalam.

"Ya, ada seorang lelaki ditahan dan sebanyak 817 kad kredit klon dirampas.

"Dia ditahan selepas tiba dari Hongkong dan kita masih sedang siasat mengenainya," katanya hari ini.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 2:16pm
d