mutakhir

Polis buru Mohd Sarudin

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

POLIS buru seorang lelaki selepas disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan curi di sekitar Kampung Tinusa 1, Sandakan, sejak bulan lalu.

Mohd Sarudin Zainal Abidin, 22, diburu selepas disyaki terbabit sekurang-kurangnya enam kes jenayah termasuk rumah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecah masuk sebanyak dua kali.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, enam kes dilaporkan berhubung jenayah dipercayai dilakukan suspek membabitkan jumlah kerugian RM12,700.

"Mohd Sarudin turut memiliki kes jenayah yang sedang dibicarakan di mahkamah berkaitan kes dadah.

"Pihak kami meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung suspek tampil menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Balai Polis Sandakan, hari ini.

Terdahulu, Mohd Azhar berkata, Isnin lalu pihaknya berjaya menahan seorang lelaki dipercayai rakan suspek dan turut merampas 35 unit pelbagai barang disyaki hasil jenayah bernilai RM12,000.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 380 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 3:13pm
d