mutakhir

Semoga mereka jauhi dadah selepas ini

Oleh Nasrawati Syarifuddin

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tawau menahan 35 individu disyaki penagih dalam serbuan di sekitar kawasan Balung Cocos dan pusat hiburan di Fajar, Tawau, awal pagi hari ini.

Operasi Perdana Siri 3 yang bermula 10 malam hingga 5 pagi itu adalah hasil kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Penolong Pegawai AADK Sabah, Erwan Roslan berkata, secara keseluruhan, seramai 45 individu berusia antara 18 hingga 40 tahun menjalani ujian saringan air kencing.

"Hasilnya, 35 individu termasuk seorang wanita didapati positif dadah jenis methapethamine.

"Semua yang positif dadah dibawa ke AADK Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya dalam sidang media di AADK Tawau, awal pagi hari ini.

Sementara itu, Ketua AADK Tawau, Abd Gani Keruput berkata, matlamat utama Operasi Perdana Siri 3 dijalankan adalah untuk membanteras gejala penagihan dadah dalam kalangan masyarakat.

"Usaha ini akan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa dan individu yang disyaki positif dadah juga akan diberi rawatan pemulihan dengan sebaiknya," katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 4:18pm
d