mutakhir

Tumpu rawat mangsa banjir

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BIRO Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) menghantar pasukan perubatan dan bantuan untuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Dengan fokus merawat mangsa banjir di beberapa lokasi yang dikenal pasti, pasukan itu turut memberi keutamaan kepada pesakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Pengerusi BiKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia dijalankan serentak dengan Program UMNO Bantu Rakyat di negeri itu, kali ketiga sejak Sabtu lalu.

Katanya, bagi memastikan semua bantuan berjalan lancar, BiKUM sudah pun berbincang Badan Perhubungan UMNO negeri dan bahagian untuk mengenal pasti mangsa yang memerlukan bantuan segera.

"Program ini bukan kali pertama dilaksanakan di Pulau Pinang. Kita ke sana pada 5 November dan 7 November lalu, ini kali ketiga.

"Kita akan ke beberapa kawasan utama Kepala Batas, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Nibong Tebal, Tasik Gelugor, Jelutong dan beberapa tempat lain," katanya pada sidang media hari ini.

Shamsul Anuar berkata, BiKUM akan menyampaikan kit bantuan harian seperti selimut kepada mangsa banjir.

Menurutnya, dianggarkan 6,000 keluarga akan menerima bantuan itu dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.5 juta.

"Seramai 1,000 orang terdiri daripada jentera parti akan turun membantu kali ini. Mereka akan bekerjasama dengan agensi kerajaan di sana bagi memastikan bantuan yang kita susun ini, sampai kepada mangsa," katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Perubatan BiKUM Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, pihaknya akan memberikan rawatan khusus kepada penyakit bawaan air selain membekalkan ubatan kepada mangsa.

Katanya, mengambil kira pengalaman sebelum ini, pasukan perubatan akan memberi rawatan segera kepada mangsa kerana ada yang tidak dapat ke klinik selepas kawasan rumah ditenggelami air.

"Berdasarkan tinjauan lokasi sebelum ini, kita akan cuba membantu sebaik mungkin di sana. Setidak-tidaknya mereka menerima rawatan segera," katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 4:36pm
d