mutakhir

Sampai hati hancurkan hati isteri...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LULUH hati isteri yang sarat mengandung sembilan bulan apabila suami yang disangka sudah berhenti menagih dadah, ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di rumah di Kampung Sungai Galah di Kampung Gajah, Perak Tengah, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 pagi, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan ketika sedang tidur di rumahnya.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, Mokhtaruddin Mohamad berkata, lelaki berkenaan antara 18 penagih dadah yang ditahan dalam Ops Perdana di dua lokasi berasingan bermula 10 malam, semalam dan berakhir 12 tengah hari tadi.

"Ketika serbuan dijalankan lelaki berkenaan cuba melawan dengan menumbuk seorang anggota namun tindakan pantas pasukan berjaya mengelak dan menahan lelaki terbabit yang didakwa oleh isterinya sudah tidak terbabit dengan dadah sejak sekian lama.

"Isteri lelaki berkenaan mendakwa suaminya sudah lama berhenti menghisap dadah namun terkejut apabila ujian yang dijalankan mendapati lelaki itu positif methaphatamine, malah turut mengakui menjual barang itu di sekitar Sungai Galah secara kecil-kecilan," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut turut menemui sebungkus plastik dipercayai dadah jenis syabu seberat 25 gram dan lelaki terbabit turut mengakui dadah itu untuk dijual dan kegunaan sendiri.

Mokhtaruddin berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 18 hingga 41 tahun yang didapati positif pelbagai jenis dadah hasil saringan ujian air kencing dan mereka ditahan di rumah serta port penagihan di Kampung Sungai Galah dan Changkat Lada.

"Kita turut menahan lelaki berusia 35 tahun di Changkat Lada yang dipercayai tokan dadah selepas pemeriksaan lanjut menemui sebungkus plastik dadah heroin seberat 20 gram dan satu senapang angin," katanya pada sidang media di Pejabat AADK Perak Tengah di Seri Iskandar, hari ini.

Mokhtaruddin berkata, dua lelaki berkenaan masing-masing ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Penangih Dadah (APD) dan Seksyen 39B APD dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala 16 individu lain Seksyen 3(1) APD 1983.

Katanya, operasi membabitkan 28 anggota AADK Perak Tengah dengan kerjasama pasukan Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) AADK Ibu Pejabat, Putrajaya.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 5:42pm
d